Wednesday, February 17, 2010

Najmil - Agenda daily

Najmil Faiz pelajar cemerlang Malaysia di UK

Dari R.Ghazali,Manchester

Najmil Faiz Mohd Aris, 25, (kiri) dipilih sebagai pelajar cemerlang Malaysia kerana penyelidikannya dalam bidang teknologi nano mendapat perhatian kerajaan Britain.

Najmil yang kini sedang menuntut di Leed Metropolitan University dalam pengajian Doktor Falsafah menjadi perhatian kerajaan Britain kerana penyelidikannya akan memberi sumbangan besar kepada sains dan teknologi.

Najmil telah dijemput ke Parliamen UK (House of Commons) untuk membentangkan hasil kajiannya berkenaan kawalan geseran ke atas sesuatu permukaan yang dilihat akan banyak membantu bidang perubatan khususnya penciptaan tulang palsu bagi membantu kes-kes kritikal.

Menurut Najmil hasil kajiannya juga boleh diaplikasikan kepada logam dalam teknologi kejuruteraan mekanikal.

Kejayaan Najmil menjadi kebanggaan Malaysia khususnya pelajar-pelajar Malaysia di UK.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyampaikan sijil Anugerah Pelajar Cemerlang Malaysia di UK kepada Najmil pagi Ahad di University of Manchester sempena Karnival Malaysia UK.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di UK dan Eire, Dr Syed Raisudin Syed Abdullah (gambar atas kanan) turut menyatakan kebanggaan beliau terhadap kejayaan Najmil.

“Najmil dalam usianya yang masih muda adalah contoh personaliti yang cemerlang kepada generasi muda Malaysia dalam konteks pembangunan sahsiah dan personaliti yang menjadi elemen penting dalam kejayaan akademik,” kata Dr Syed Raisudin.

“Najmil adalah hasil kejayaan sistem pendidikan Malaysia yang berkesan. Walaupun sistem pendidikan Malaysia diasaskan daripada sistem British yang kemudiannya kita improvisasikan mengikut acuan dan keperluan negara, namun kita amat bersyukur dan bangga kerana hari ini sistem pendidikan itu berjaya melahirkan golongan pelajar yang berdaya saing dan sanggup berdepan dengan cabaran.

“Berbanding dengan negara-negara jiran di rantau Asia Tenggara mahupun di kalangan Dunia Ketiga, sistem pendidikan Malaysia amat konsisten dalam konteks keberkesanannya melahirkan generasi berilmu.

“Kemiskinan bukan lagi pembolehubah yang menghalang kejayaan rakyat Malaysia untuk berjaya dalam bidang akademik. Kerajaan sentiasa membantu untuk melahirkan golongan cendekiawan Malaysia khususnya dalam bidang teknologi tinggi,” kata Dr Syed Raisudin yang menyokong pandangan Datuk Seri Najib dengan merujuk kepada ramai cendekiawan Malaysia yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.

No comments: