Friday, February 19, 2010

Perlukah Guru Garang? - Dari blog gurubashid, http://gurubashid.com

Saya Mesti Jadi Garang Untuk Mendiamkan Murid: Salah Tu Cikgu
Posted in February 3rd, 2010
by Cikgu Bashid in Panduan

Luahan Bakal Guru:

Salam, cikgu…saya guru pelatih dari sabah. sekarang sedang praktikum. saya ada masalah. kelas saya tahun 2 kelas belakang. budak ada 30 lebih tapi sekolah ni sekolah kampung. budak2nya x dengar cakap saya. ada macam2 perangai. yg hyperactive, yang degil, yang ego, yang kuat report, yang x nak duduk, yang suka pukul kawan…tolong saya,,boleh cikgu bagi cadangan macam mana nak handle these kids? saya dah cuba jadi garang dan tegas tp nampaknya x jalanlah.

Jawapan saya:

Cikgu, jangan berlawan lari dengan mereka, tentu cikgu akan kalah. Jangan lawan menjerit dengan mereka sebab mereka ramai.Jangan berlawan kepung dengan mereka nanti cikgu yang terkepung.

Cikgu kata cikgu sudah jadi garang dan tegas. Maafkan saya cikgu. Mungkin tafsiran cikgu tentang garang dan tegas itu hanya pada kata-kata yang cikgu lafazkan.

Cikgu jangan lupa, diam seseorang guru dan bahasa tubuh mereka kadang-kadang jauh lebih berkesan dalam mendiamkan murid tanpa keluarkan sepatah perkataan yang dikatakan “garang”.

Dalam kes ini garang kata-kata tidak akan menyelesaikan masalah.Jika anda garang mereka akan lebih garang kepada cikgu. Ingat cikgu, kepercayaan yang salah yang selama ini menjadi pegangan dalam perguruan ialah garang akan mendiamkan murid.

Cikgu kena terima mereka seadanya. Jangan menerima mereka sebagai murid yang bermasalah. Jika impression pertama cikgu tentang mereka seperti itu cikgu yang akan menghadapi masalah untuk sepanjang tempoh praktikum itu. Cikgu sedang megirimkan minda fax yang salah ke atas murid-murid cikgu, dengan mendakwa murid cikgu bermasalah dan susah diurus.

Maka sebagai balasannya cikgu sekarang menerima tanggapan yang sama daripada murid-murid cikgu. Cikgu dilihat bermasalah oleh murid-murid cikgu. Mereka ingin cikgu ikut mereka sebab cikgu mahu mereka ikut cikgu dengan cara-cara cikgu.

Akibatnya cikgu yang akan bermasalah, bukan murid-murid cikgu. Sebenarnya 30 orang murid cikgu itu sedang bergembira dan mereka sedang melalui kehidupan sebenar mereka. Cikgu yang berdukacita sekarang, bukan mereka.

Mereka sedang menguji cikgu. Sepatutnya cikgu rasa bertuah menerima murid seperti itu sebab cikgu mendapat murid yang berbagai-bagai ragam. Satu pengalaman berharga yang ditentukan buat cikgu dan tidak kepada cikgu yang lain.

Beri apa yang mereka mahu.Pelbagai tafsiran yang cikgu buat tentang murid cikgu.Hiperaktiflah, suka lawan, suka gaduh, kaki repot dan sebagainya. Sebenarnya apa yang cikgu gambarkan tentang murid-murid cikgu,bukan masalah. Masalahnya sekarang adalah cikgu, iaitu bagaimana cikgu mahu mendiamkan mereka. Ya cikgu kena ada skill mendiamkan mereka.

Saya ingin beritahu cikgu lupakan nak mengajar kalau cikgu tak dapat nak diamkan mereka.Jika makan boleh mendiamkan mereka cikgu kena bagi mereka makan. Jika menonton boleh mendiamkan mereka cikgu kena buat satu tayangan. Jika menyanyi boleh diamkan mereka cikgu kena menyanyi atau buat aktiviti nyanyian. Jika mereka sudah belajar untuk diam baru cikgu boleh mula mendekati mereka, dan selepas itu baru cikgu boleh mengajar.

Murid hanya diam apabila ada kerja yang sedang dibuat. Jika cikgu melihat dari jauh, mengawal dengan mata, banyak bercakap dan berkata jangan buat itu dan jangan buat ini cikgu akan menghadapi tekanan. Berkata jangan dan memandang dengan sakit hati ke arah murid-murid cikgu bukanlah cara kawalan yang terbaik.

Saya merayu kepada cikgu supaya bersangka baik dengan murid-murid cikgu. Cikgu dengan nada sinis kata mereka budak sekolah kampung. Selepas itu cikgu kata macam-macam tentang budak sekolah kampung itu.

Apa yang cikgu rasa terhadap murid-murid cikgu dan tanggapan cikgu tentang murid-murid kampung itulah sebenarnya masalah cikgu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Cikgu sekarang terperangkap dengan tanggapan cikgu sendiri.

Tanggapan cikgu terhadap murid-murid cikgu sudah salah untuk kali pertama, bagaimana cikgu mahu menjadikan mereka betul. Betul jika ia menurut cara cikgu, bukan betul kerana menurut cara yang sepatutnya.

Nasihat saya selesaikan masalah cikgu dulu, baru cikgu dapat ketenangan dan seterusnya membuka jalan ke arah penyelesaian yang sebaik-baiknya.

Berikan saya 30 murid yang cikgu katakan itu kepada saya. Saya tahu bagaimana untuk berhadapan dengan mereka. Saya akan terima dahulu mereka seadanya dan saya bersihkan sebarang prasangka buruk mengenai mereka tanpa saya mengenali mereka terlebih dahulu.

Cikgu hanya mahu mengajar tetapi cikgu tidak mahu ambil masa untuk belajar tentang mereka. Cikgu terus membuat kesimpulan dan kesimpulan yang cikgu buat tentang murid-murid cikgu itulah yang menjadikan fikiran cikgu kusut dan akhirnya cikgu akan sugul sepanjang hari berdepan dengan semua ini.

Ingat cikgu, ini baru praktikal, bagaimana jika cikgu menjalankan tugas mendidik yang sebenar di sebuah sekolah yang cikgu pun belum tahu bagaimana keadaannya?

Nasihat GuruBashid

No comments: