ARKIB : 11/02/2010
Pegawai pelajaran perlu kerap lawat sekolah
TAWAU 10 Feb. - Pegawai pelajaran digesa mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah di daerah ini setiap bulan bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh semua sekolah berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata, lawatan yang lebih kerap adalah penting dalam usaha mempercepatkan pembangunan pendidikan di negeri ini yang masih ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.
"Saya terima banyak aduan mengenai masalah sekolah seperti bangunan sekolah yang memerlukan pembaikan, pusat sumber kurang lengkap dan bilik darjah yang tidak selesa.
"Jadi, saya gesa pegawai-pegawai pelajaran untuk turun padang melawat sekolah di kawasan masing-masing dua atau tiga kali sebulan bagi melihat sendiri keadaan sekolah yang memerlukan bantuan segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis kenduri kesyukuran dan doa selamat kecemerlangan prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Balung dekat sini hari ini.
Turut hadir Guru Besar SK Balung, Nasir Nusu dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Balung, Maxy Self.
Menurut Syed Abas, pegawai pelajaran perlu meninjau keadaan sekolah dan tidak hanya mengharapkan laporan daripada orang bawahan semata-mata.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan segala peruntukan yang disediakan dapat digunakan sebaik mungkin bagi meningkatkan pembangunan pendidikan di negeri ini.
"Kita tidak mahu keadaan sekolah kurang selesa menyebabkan pelajar sukar memberikan tumpuan kepada pelajaran dan guru pula menghadapi masalah untuk mengajar dengan berkesan," katanya.
Sementara itu, Syed Abas berkata, ibu bapa juga harus memainkan peranan penting dengan meletakkan pendidikan anak-anak sebagai keutamaan mengatasi perkara remeh lain.
Ujarnya, faktor kemiskinan tidak harus dijadikan alasan oleh ibu bapa untuk mengabaikan pelajaran anak-anak mereka.
"Pendidikan sahaja yang dapat mengubah nasib anak-anak, jadi ibu bapa harus berkorban tenaga dan masa dengan mengutamakan pendidikan anak-anak.
"Malah, terdapat banyak bantuan yang disediakan kerajaan dapat membantu meringankan beban ibu bapa memberikan pendidikan sempurna kepada anak-anak mereka," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment