oleh ZIEMAN
Nama pengarang muda Najmil Faiz Mohamed Aris tiba-tiba meniti di bibir mereka yang mengikuti Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Bukan sahaja kerana buku Najmil bertajuk ‘Meniti Puncak Antara Realiti & Fantasi’ dalam versi Bahasa dan Inggeris laris diedarkan secara percuma tapi reputasi anak muda yang terbilang pencapaian akademiknya turut menarik minat ramai orang mengetahui latar belakangnya.
Pertemuan yang diaturkan oleh Shariff Hamid, Setiausaha II Pentadbiran, Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara memberi ruang bagi mengenali anak muda yang kini dipenghujung jalan mencapai Ijazah Kedoktoran Falsafah (Ph.D) dalam bidang kejuruteraan mekanikal yang melibatkan aplikasi teknologi nano.
Najmil merupakan pelajar Malaysia pertama diberi kesempatan untuk membentang hasil kajian di dalam bidang nano teknologi di dalam House of Common, Parlimen British di Westminster Abbey di London, atas jemputan khas Dr Brian Iddon, Menteri Perdagangan Britain pada tahun 2005.
Penglibatan Najmil sebagai anak Melayu di dalam bidang yang bakal memberi ledakan kepada perkembangan pembangunan di negara Malaysia sesungguhnya amat membanggakan.
Najmil dalam peringkat terakhir menyiapkan tesis tiga tahun pengajian PhDnya bertajuk ‘Surface Functionality: Modelling, Simulation, Optimization and Control’pada bulan Februari depan.
Pencapaian akademik Najmil yang memberangsangkan telah mendorong pemberian Anugerah Pencapaian Akademik Terbilang oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Badawi baru-baru ini.
Pada tahun ini juga, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak telah memilih Najmil untuk Anugerah Pencapaian Akademik Gemilang di Manchester, United Kingdom. Najmil juga telah mendapat Anugerah Personaliti Bitara kelab UMNO Luar Negara.
Perjalanan hidup Najmil ke arah mencapai kecemerlangan akademik perlu dijadikan inspirasi bagi generasi muda.
Terdapat banyak catatan duka di dalam buku yang dihasilkannya. Walau meleret senyuman dibibir Najmil ketika diwawancara, terlepas juga secalit duka di wajahnya apabila menceritakan perjalanan awal hidupnya mencari ilmu di rantau orang.
Kegagalan adalah kaunselor yang terbaik
Najmil yang berpegang kepada peribahasa Cina, "Menyimpang seinci rugi seribu tahun" tidak pernah menangisi kegagalan yang pernah dihadapinya.
"Kegagalan adalah pembakar semangat saya selama ini. Saya menganggap sesebuah kegagalan itu sebagai kaunselor. Hal ini membuat saya sentiasa berfikir...kemanakah hala yang harus saya tuju?," ujar anak muda yang berusia 26 tahun ini.
Berkat kesabaran dan kecekalan menempuh segala rintangan dan menghadapi sebarang kemungkinan, Najmil bangun dan menebus kegagalan setelah mendapat Gred 3 dalam peperiksaan SPM.
"Ketika berada di persimpangan hidup samada untuk meneruskan pelajaran atau mencari kerja, saya mula mengatur strategi dan menyusun langkah seterusnya untuk menyambung pelajaran saya," ujar Najmil yang banyak meminta bantuan abang sulungnya yang ketika itu sedang melanjutkan pelajaran di United Kingdom.
Sementara menunggu keputusan dari beberapa kolej swasta, Najmil membuat keputusan untuk bekerja sambilan di Kuala Lumpur. Namun kedua ibu bapanya hanya membenarkan Najmil bekerja sebagai pembantu pam stesen minyak di Pasir Mas berhampiran rumah mereka.
Akibat disindir dan diperli rakan-rakan, Najmi terus membulatkan azam untuk menaikkan taraf akademiknya. Kepedihan awal disindir rakan wanita membuat Najmil tidak toleh ke belakang lagi.
'Gagal' lagi
Najmil memohon masuk ke sebuah Institut Pelajaran Tinggi Swasta (IPTS) untuk mengikuti kursus Diploma Kebangsaan Tinggi (HND) dalam bidang kejuruteraan mekanikal di sebuah kolej swasta LNG Twintech di Bandar Damansara. Kursus ini adalah gabungan dengan DeMonfort University, Leicester, United Kingdom.
Untuk melanjutkan pelajarannya, pemuda yang berjiwa cekal ini memohon pinjaman pelajaran daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA). Walaupun berjaya mendapat diploma selepas dua tahun, keputusan purata nilaian gred keseluruhan (CGPA) yang hanya mencecah 2.2 mata cukup mengecewakannya.
"Saya cuma pelajar yang sederhana pintarnya tetapi saya tidak pernah putus asa. Saya mempunyai impian yang tinggi," jelas Najmil.
Najmil mengaku ‘gagal’ dua kali dalam akademik di awal pendidikannya di Malaysia.
"Bagi saya keputusan saya gagal kerana tidak diterima masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi di dalam negara. Saya perlu bekerja keras dan melalui jalan sukar untuk masuk ke Leeds Metropolitan University (LMU) dan saya berjaya melakukannya," ujar Najmil yang percaya kepada moto ‘jika orang lain boleh, saya juga tentu boleh’.
Dan keazaman ini hanya permulaan bagi satu perjalanan yang masih jauh.
Bekerja untuk mengumpul wang
Selain dari mengumpulkan wang dari pendapatan bekerja di sebuah syarikat antarabangsa Epson dan pinjaman bank yang dijamin oleh bapa, Najmil akhirnya berjaya melangsaikan membayar yuran LMU sekitar 7, 000 paun sterling.
Dengan wang baki sebanyak 300 paun sterling di dalam poket serta panduan yang diberikan oleh abang, Najmil memulakan langkah ke United Kingdom dan berjaya menjejakkan kaki ke universiti LMU, membayar yuran pendaftaran dan memulakan pencarian untuk menyelesaikan masalah kewangan seterusnya dengan mencari kerja sambilan.
"Semuanya telah saya lakukan dari bekerja sebagai porter, mencuci pinggan, penjaga stor sehinggalah mencuci pejabat, tandas dan pelbagai lagi," jelas Najmil yang terpaksa mengikat perut dan hidup dengan susu, roti dan air sejuk sahaja untuk menampung kehidupan di rantau orang.
Pada mulanya dia terpaksa pakai baju dan seluar berlapis-lapis kerana tidak mampu untuk membeli pakaian musim dingin. Dan bila ada duit baki barulah dia membeli pakaian terpakai. Najmil terpaksa bekerja tiga syif secara sambilan setiap hari bagi menampung pengajian dan perbelanjaan hariannya di universiti.
Hidupnya banyak dihabiskan di perpusatakaan sehinggakan tempat itu bagaikan rumah kedua untuk Najmil.
Setelah bekerja keras selama dua tahun tanpa rehat secukupnya, Najmil akhirnya berjaya dengan cemerlang dan mendapat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kelas Kedua Atas dalam bidang Kejuruteraan Pembuatan.
Penyelia dan juga mentor Najmil, Profesor Dr Kai Cheng telah mencadangkan supaya Najmil meneruskan pengajian ke peringkat Ph.D dan mengesyorkan dia membuat kajian yang berasaskan industri pembuatan.
Berdasarkan keputusannya yang cemerlang, Najmil berjaya mendapat biasiswa Kolej Universiti Institut Teknologi Tun Hussein Onn (KUITTHO) di bawah skim pengajar muda.
Hari paling bersejarah
Detik yang paling manis buat Najmil ialah pada 14 Mac 2005, apabila dia melangkah masuk ke Dewan Persidangan Parlimen British (House of Common) dan diperkenalkan kepada para hadirin oleh Menteri Industri Britain untuk membentang hasil kajian di dalam bidang nano teknologi.
Siapa sangka budak kampung dari Pasir Mas yang pernah terkandas dalam pelajaran boleh berdiri membentangkan kertas kajian di hadapan VIP dan saintis yang rata-rata berbangsa Inggeris dan bercakap tentang kajian yang baru selepas internet.
"Saya berasa amat bertuah dan bersyukur kerana telah mencatat kejayaan yang tidak pernah termimpikan kerana saya sedar saya bukan tergolong dalam kumpulan manusia bertuah yang berpeluang meneruskan pelajaran menerusi Unit Pusat Universiti (UPU)," jelas pemuda yang suka merendah diri ini.
Kegembiraan Najmil bertambah apabila Timbalan Perdana Menteri tiba sehari sebelum taklimatnya dan menyampaikan hadiah istimewa iaitu Anugerah Pencapaian Akademik Gemilang di Manchester, United Kingdom.
Taklimat Najmil tentang "Teknologi nano dalam Kejituan Kejuruteraan" telah membuka mata ramai syarikat besar dan istitut penyelidikan untuk menawarkan pekerjaan kepadanya termasuklah kumpulan penyelidik dari Switzerland dan beberapa makmal yang berpangakalan di UK.
"Malaysia tempat tumpah darah saya, tempat yang paling saya cintai. Saya tidak mungkin membelakangkan keperluan negara saya sendiri," kata anak kedua dari enam orang adik beradik ini.
Kini Najmil di penghujung jalan mencapai Ijazah Kedoktoran Falsafah (Ph.D) dalam bidang yang paling diminatinya iaitu kejuruteraan mekanikal yang melibatkan aplikasi teknologi nano, satu bidang yang berkaitan dengan masa depan manusia.
"Kebetulan pula, bidang penyelidikan nano yang sedang saya usahakan ini merupakan perkara baru dalam dunia teknologi yang bakal mewarnakan kehidupan manusia.
"Teknolgi ini mungkin masih belum diketahui sepenuhnya di rantau ini tetapi bakal hadir dalam setiap sudut kehidupan manusia baik dari sudut teknologi, automatif, perubatan, seni bina, farmasi, mekanikal atau bioteknolgi," jelas Najmil.
Menurut Najmil, selepas internet, teknologi nano inilah yang bakal merobah gaya hidup manusia dalam masa yang terdekat ini. Di Eropah dan Amerika Syarikat, teknologi ini sebenarnya sudah dijadikan asas dalam pelbagai aspek.
"Teknologi ini dikenal pasti penting kepada manusia kerana dapat menjimatkan trillion dollar dan memberikan keuntungan berganda kepada pengusahanya," katanya lagi.
Buku yang berbentuk motivasi
Buku yang berbentuk autobiografi dan motivasi bertajuk "Meniti Puncak Antara Realiti & Fantasi" ini menyingkap berbagai pengalaman menarik Najmil dari muda sehingga kini.
"Buku ini adalah catatan peribadi saya tentang peningkatan dan pencapaian akademik serta nasihat motivasi. Ramai orang telah membantu saya menerbitkan buku ini seperti profesor, pensyarah dan rakan universiti saya.
"Saya juga amat terhutang budi kepada Pengerusi kelab UMNO Luar Negara Dato’ Mohd Shafie Haji Apdal Bakat yang banyak memberi nasihat dan dorongan kepada saya," katanya lagi.
Bagi Najmil yang tidak pernah kenal erti putus asa, apa saja yang hendak kita lakukan hendaklah dimulakan dengan satu iltizam.
"Dan jangan biarkan sesiapa memperkecilkan anda...," katanya dan terus memberi contoh, kata-kata penulis terkenal Mark Twain.
"Jauhi orang yang memperkecilkan cita-cita anda. Hanya orang yang berjiwa kecil bersikap demikian tetapi orang yang hebat akan membuat anda rasa bahawa anda juga boleh menjadi hebat."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

1 comment:
dia lahir kat ipoh rasanya. dibesarkan di kelantan. ayah orang perak mak orang kelantan. rasanya.
Post a Comment